Posted by: almalakawi | 8 Ogos 2009

Bahagian kedua Syarah Matan Ummul-Barahin متن أم البراهين

Bahagian Pertama (klik disini)

Wajib mengetahui hukum akal

 Tiap-tiap orang yang hendak mengenal الله dan mengatahui sifat-sifatNya terlebih dahulu wajib atasnya mengatahui hukum akal dan bahagiannya, kerana ia jadi neraca bagi mereka yang hendak menghukumkan sifat-sifat Tuhan yang diperentahkan mengenal. Walaupun mengenal zat الله permulaan yang wajib bagi tiap-tiap mukalaf, tetapi permulaan yang wajib untuk mengenal sifat-sifat الله adalah mengatahui hukum akal, kerana kaedah  (مَا لاَ يَتِمُ الْوَاجِبُ إلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ) tidak sempurna suatu kewajipan melainkan dengan suatu yang boleh menyempurnakannya maka adalah ia jadi wajib.

 Pengertian hukum akal

 Hukum akal adalah menetapkan suatu perkara kepada suatu pekara yang lain atau menolak suatu pekara daripada pekara yang lain dengan mendatangkan dalil akal atau bukti daripada kekuatan akal dan tidak berkehendak kepada diuji.

 Pengertian akal

 Akal ialah satu sifat yang dijadikan oleh Tuhan pada manusia dengan sebabnya dapat membeza antara manusi dan haiwan, dengannya juga kita dapat mengetahui pekara yang berkehendak kepada berfikir dan daripadanya tempat terbit buah fikiran yang bernas.

Hukum akal terbahagi tiga

اِعْلَمْ أَنَّ الْحُكْمَ الْعَقْلِى يَنْحَصَرُ فِى ثَلاَثَةِ أَقْسَامٍ, الوُجُوبِ, وَالإسْتِحَالَةِ, وَالْجَوَازِ

Ketahuilah bahawa hukum akal terbahagi tiga:

  1. Wujub yakni tidak boleh dinafi ada atau berlaku.
  2. Istihalah yakni tidak boleh diterima ada atau berlaku.
  3. Jawaz yakni boleh dinafi atau tidak boleh dinafi tetapi atas jalan silih berganti.

Makna tiap-tiap satunya

Pertama: فَالوَاجِبُ مَا لاَ يَتَصَوَّرُ فِي الْعَقْلِ عَدَمُهُ ertinya wajib itu barang yang tidak boleh diterima pada akal tiadanya.

Wajib akal terbahagi dua.

i.  Wajib daruri, pekara yang tidak berhajat kepada berfikir untuk mengetahui wajibnya, seperti berkehendak jisim / tubuh kepada ruang.

ii.  Wajib nazari, pekara yang berhajat kepada berfikir untuk mengetahuinya, seperti الله berkuasa menjadikan alam ini.

Kedua: وَالْمُسْتَحِيلُ مَا لاَ يَتَصَّوَرُ فِي الْعَقْلِ وُجُودُهُ  ertinya mustahil itu barang yang tidak boleh diterima pada akal adanya

Mustahil akal terbahagi dua.

i. Mustahil daruri, pekara yang tidak berhajat kepada berfikir untuk mengetahui mustahilnya, seperti tidak berkehendak jisim / tubuh kepada ruang.

ii.  Mustahil nazari, pekara yang berhajat kepada berfikir untuk mengetahuinya, seperti الله tidak berkuasa menjadikan alam ini.

 Ketiga: الجَائِزُ مَا يَتَصَوَّرُ فِي الْعَقْلِ وُجُودُهُ وَعَدَمُهُ ertinya harus itu barang yang  boleh diterima pada akal adanya dan tiadanya

Harus akal terbahagi dua.

i. Harus daruri, barang yang tidak berhajat kepada berfikir untuk mengetahui keharusannya seperti menerima jirim / tubuh salah satu gerak dan diam 

ii. Harus nazari, barang yang berhajat kepada berfikir untuk mengetahui keharusannya seperti تعالى الله menyeksa orang yang berbuat kebajikan dan memberi pahala orang yang melakukan maksiat tetapi wajib pada syarak الله  menyeksa orang yang melakukan maksiat dan memberi pahala orang yang berbuat taat / kebajikan, kerana الله tidak memungkiri janji.

 Bahagian ke tiga (klik di sini)


Tinggalkan komen

Kategori